ISYARAT REKABENTUK GRAFIK

TIPOGRAFI

PENGENALAN

   

    BAHASA ISYARAT MALAYSIA atau nama ringkasnya BIM secara rasminya telah diiktiraf sebagai bahasa rasmi orang pekak di dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008 atau Akta 685.

   BIM digunakan secara meluas dan bukan sahaja dalam komunikasi seharian tetapi juga dalam pelbagai urusan rasmi, pendidikan, kesihatan dan keagamaan. Sebagai satu bahasa, BIM telah berkembang mengikut keperluan seharian dan juga mengikut peredaran zaman. Justeru itu, bagi mewujudkan akses kepada pembelajaran tanpa halangan untuk pelajar pekak, istilah teknikal diperlukan dalam bentuk isyarat bagi melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran.

     iReG adalah singkatan daripada Istilah Rekabentuk Grafik. Laman web ini dibangunkan untuk menjadi sumber rujukan bahasa isyarat yang digunakan dalam bidang rekabentuk grafik. Istilah yang dipilih adalah dari empat bidang utama rekabentuk grafik iaitu Tipografi, Rekabentuk Penerbitan, Rekabentuk Identiti Korporat dan Pengiklanan. Istilah tersebut telah di adaptasi dari buku Isyarat-Isyarat Terminologi Reka Bentuk Grafik yang diterbitkan oleh Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD). Pelajar dan tenaga pengajar boleh mempelajari isyarat Istilah Rekabentuk Grafik menerusi video yang terdapat di dalam laman web iReG ini. Di samping itu juga disertakan maksud bagi setiap istilah supaya mudah difahami. Adalah diharapkan agar laman web ini dapat menjadi sumber rujukan terutamanya kepada para pelajar, tenaga pengajar dan orang awam yang berminat.

Latarbelakang Program Sijil Kemahiran Rekabentuk Grafik (Masalah Pendengaran)

   Program Sijil Kemahiran Khas Rekabentuk Grafik mula diperkenalkan pada tahun 2001 di Jabatan Rekabentuk, Politeknik Johor Bahru. Kemudian pada tahun 2015, program ini telah dijenamakan semula kepada Program Sijil Kemahiran Rekabentuk Grafik di bawah Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual, Politeknik Ibrahim Sultan. Program ini dikhususkan untuk pelajar berkeperluan khas masalah pendengaran yang sekurang-kurangnya telah tamat tingkatan 5. Program ini dibangunkan untuk memberi lebih penekanan kepada kemahiran praktikal. Adalah diharapkan graduan dalam bidang ini mampu menyumbang tenaga pekerja separuh mahir dalam bidang industri kreatif negara. 

    Bahasa isyarat adalah medium komunikasi utama dalam pengajaran dan pembelajaran. Terdapat banyak istilah rekabentuk grafik yang perlu pelajar fahami mengikut kursus yang dipelajari seperti Tipografi, Penerbitan, Identiti Korporat, Pengiklanan dan lain-lain. Pelajar perlu tahu isyarat yang digunakan untuk setiap istilah supaya ada keseragaman dari segi penggunaan bahasa isyarat.